Apo Dayo Motong Gotah!



Sehari dua ini hujan di Kuala Pilah. Mungkin telah sampai gelombang ke dua angin monsun timur laut. Monsun yang yang bukan sahaja membawa hujan tetapi juga selalu membawa sekali banjir terutama sekali di bahagian pantai timur negara. Tahun 2014 menyaksikan banjir besar, kerugian besar di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Mudah-mudahan tidak ada banjir tahun ini.

Musim hujan pada hujung tahun begini lazimnya mendukacitakan sedikit bagi penoreh-penoreh getah. Seperti juga para nelayan di pantai timur tidak dapat turun ke laut, penoreh getah juga tidak dapat menoreh. Keperluan persekolahan anak awal tahun depan menjadi kebimbangan. Apatah lagi pada zaman harga barang serba naik ini. Harga getah pula entah berapa ringgit sekilogram sekarang. Mungkinkah lebih murah dari harga sebotol air mineral?

Saya pernah ada pengalaman menoreh getah. Itu pun bermula pada ketika umur 16 tahum. Tahu benar akan kesusahannya. Proses menoreh bolehlah dikatakan mudah. Asalkan tekniknya betul dan pisaunya tajam, kerja-kerja menoreh dapat dilakukan. Paling payah adalah ketika memungut hasil getah atau istilah yang lebih dikenali di sini, 'mengopek lantun'.

Hendak mengeluarkan getah beku yang digelar 'lantun' tadi dari mangkuknya amatlah payah. Getah beku melekat kuat pada permukaan dalam mangkuk. Banyak tenaga digunakan untuk menariknya keluar. Tarik punya tarik kadang kala mangkuk getah terpelanting ke muka sendiri. Terpercik pula muka dengan air getah yang baunya semerbak mengharum. Itu belum cerita lagi pengalaman disengat penyengat atau terperanjat terserempak babi menyebabkan kedua-duanya lari!

Apa pun ceritanya, salute pada ibu bapa kita yang membesarkan kita dengan usaha bersusah payah. Mengerah tenaga, mencurah keringat semata-mata untuk masa depan kita. Pengorbanan yang pastinya tidak dapat kita balas sampai bila-bila.

Comments