Watak-watak Yang Bermain Di Minda



Dua puluh tahun dulu saya mula mencipta watak-watak perempuan di Majalah Lanun. Waktu itu saya melihat Majalah Lanun kekurangan watak perempuan yang diketengahkan. Berada di tangga paling atas ketika itu adalah watak Kartini yang dicipta oleh kartunis Tembakau. Ketika itu slot saya cumalah ruangan kartun loose 'rekreasi minda'.

Saya mula melukiskan watak perempuan dan ianya tersiar dalam Majalah Lanun isu bumper raya. Bila saya tengok semula watak-watak itu, masyaAllah! Macam karekter alien workshop. Sumpah tak nak tunjuk kat orang! Di sekitar hujung penerbitan Majalah Lanun barulah muncul watak-watak perempuan lain yang diketengahkan antaranya yang dilukis oleh kartunis Norm Aidid dan kartunis Nipah. Karekter mereka lebih menonjol dari karekter yang saya cipta.

Paling manis dalam ingatan apabila saya diberi ruang empat mukasurat kartun drama. Maka terbitlah drama Lily Siti Aisyah sebanyak dua episod yang sambungannya senyap begitu sahaja kerana saya sudah pun bertindak berhenti kerja dan berpindah ke sebuah syarikat animasi di Petaling Jaya. Bukan tidak bertanggung jawab terhadap karya tetapi kehidupan diwaktu itu sangat menyiksa sehingga saya terpaksa nekad mencari kerja lain.

Selain Lily Siti Aisyah, ada juga saya ciptakan watak Ipah. Beberapa kali juga tersiar dalam ruangan rekreasi minda tetapi kali ini dalam ruangan warna. Sekitar tahun 2008 sekali lagi saya cuba menghidupkan semula kisah Lily Siti Aisyah dalam blog. Tetapi tidak berjaya. Mudah-mudahan ada peluang saya menghidupkan semula watak ini nanti.

Comments